Perak mengambil khidmat dua pemain dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais, bagi memperkukuhkan pasukan dalam baki kancah Liga Malaysia musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pengambilan mereka adalah bagi menggantikan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Wunder Luiz Biten Court Junior.
Advertisement
Menurut Ahmad Faizal, Gilmar digantikan berikutan kemerosotan prestasinya tahun ini manakala Wunder menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan anaknya di Brazil.
"PAFA mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua pemain yang telah membantu Perak menjulang Piala Malaysia tahun lalu.
"Kami berharap mereka akan mencapai kejayaan dalam kerjaya bola sepak mereka selepas ini, " katanya dalam majlis memperkenalkan dua pemain baru Perak itu.
Katanya, Ronaldo, 28, adalah penyerang dari kelab Esporte, Brazil dan pernah beraksi dalam Liga J untuk Yokohama FC.
Raianderson atau lebih terkenal dengan panggilan Careca, 23, dari Atletico Acreano diambil bagi memperkukuhkan jentera tengah Perak.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata pengambilan Ronaldo dan Careca diharap menjadi jawapan kepada ketumpulan jentera serangan pasukan The Bos Gaurus setakat ini.
Katanya, kedua-dua pemain itu dijangka dapat beraksi dalam suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC di Stadium Perak, Sabtu ini.
Presiden PAFA itu menyangkal dakwaan bahawa Perak turut menggantikan Zac Anderson kerana perkara itu tidak pernah ditimbulkan.
"Dia masih bersama Perak kerana khidmatnya diperlukan untuk mengemudi benteng," tambahnya.
Beliau juga tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai kedatangan pemain Singapura, Faris Ramli.