Skip to main content

Bola Sepak

Giliran Edouard Mendy sertai Al-Ahli

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mendy.jpg
Edouard Mendy menjadi tonggak ketiga yang meninggalkan Chelsea dan berhijrah ke Arab Saudi pada musim panas ini dengan menyertai Al-Ahli.

Perjanjian bernilai £16 juta (RM94.2j) itu tercetus selepas penjaga gol berkenaan kehilangan tempat kepada Kepa Arrizabalaga dalam separuh masa kedua musim lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu muncul salah seorang penjaga gol paling mendapat penilaian tinggi di dunia selepas membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara (UCL) pada 2021 tetapi hanya sekali diturunkan sebaik pulang daripada Piala Dunia di Qatar, selain dihukum berikutan kesilapannya ketika diikat Nottingham Forest 2-2 pada bulan lalu. 

Agensi berita PA difahamkan bahawa pengurus baru, Mauricio Pochettino, beberapa minggu lalu sudah memutuskan bahawa Arrizabalaga akan menjadi pilihan pertamanya di gawang, manakala menganggap pemain antarabangsa Senegal itu sebagai bahagian sokongan. 

 

Justeru, Mendy akan menyertai N’Golo Kante dan Kalidou Koulibaly yang meninggalkan Stamford Bridge untuk berkelana ke Liga Profesional Saudi dengan masing-masing menuju ke Al-Ittihad dan Al-Hilal.

Seorang lagi pemain terpinggir, Hakim Ziyech, difahamkan berada di ambang perpindahan ke negara Teluk untuk menyertai Al-Nassr, sekali gus bakal menjadi rakan sepasukan Cristiano Ronaldo.

Kelab yang berpangkalan di London itu enggan menunggu lama untuk melepaskan seramai mungkin pemain sebelum tarikh hari ini berakhir supaya dananya boleh disuntik bagi menjana akaun kewangan untuk 2022/23.
 

Advertisement

Must Watch Video