AZERBAIJAN 0 WALES 2
Ryan Giggs berharap untuk menurunkan Gareth Bale dan Aaron Ramsey dalam aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Hungary selepas menggunakan kedua-dua pemain itu dalam kemenangan ke atas Azerbaijan awal pagi tadi.
Bale membuat penampilan pertamanya dalam tempoh sebulan apabila membantu Wales menang 2-0 di Baku yang mengesahkan usaha mereka untuk layak secara automatik ke kejohanan tahun depan itu akan berlanjutan ke perlawanan terakhir kelayakan.
Penyerang Real Madrid itu mengalami kecederaan betis dan sekadar beraksi selama 60 minit sebelum digantikan oleh pemain tengah Juventus, Ramsey, yang turut bergelut mendapatkan masa beraksi ekoran kecederaan paha.
Giggs masih belum menurunkan kedua-dua pemain itu serentak dalam saingan kelayakan tetapi optimis mampu melakukannya ketika berdepan Hungary di Cardiff, Selasa ini.
"Kami masih lagi menilai mereka," katanya. "Dengan merehatkan Bale awal dan menurunkan Ramsey banyak membantu.
“Ramsey menunjukkan kualitinya apabila dimasukkan tapi ia satu peralihan yang cepat. Gareth berhempas-pulas sedikit, yang harus difahami, tapi harap-harap saya ada pilihan untuk memulakan kedua-dua pemain itu Selasa ini.”
Wales, yang tidak tewas dalam empat perlawanan Kumpulan E sejak dua kekalahan berturut-turut di laman lawan Jun lalu, kini ketinggalan satu mata di belakang penghuni tangga kedua, Hungary manakala Slovakia pula satu mata di belakang menjelang pertemuan dengan Croatia, Sabtu ini.
Kemenangan ke atas Hungary, ditambah pula dengan kegagalan Slovakia meraih mata maksimum daripada baki dua lagi perlawanan, cukup buat anak buah Giggs itu untuk layak secara automatik ke Euro 2020.
"Kami telah beraksi cemerlang dalam empat perlawanan. Kami perlu meneruskannya jika mahu layak ke Euro.
"Saya kurang gembira dengan bilangan sepakan sudut yang diberikan tetapi lawan kami tidak menghadirkan sebarang ancaman dalam permainan terbuka.Kami harus menjaringkan beberapa gol lagi."
Kieffer Moore menggandakan jumlah jaringan peribadinya untuk Wales dengan gol pembukaaan pada minit ke-10 di Bakcell Arena manakala Harry Wilson turut menemui sasaran dalam separuh masa pertama untuk meraih kemenangan selesa di laman lawan.
Ia adalah kemenangan pertama Wales di laman lawan sejak Oktober 2018 dan Giggs menambah: "Sesetengah permainan kami adalah menakjubkan.
"Sejak pertemuan dengan Azerbaijan di tempat sendiri, kami telah meningkat. Kami telah berdepan beberapa pasukan sukar tapi keseluruhannya, prestasi kami telah menunjukkan peningkatan."
Penulis Jemputan
Sun Nov 17 2019