Skip to main content

Bola Sepak

Gattuso, Mirabelli mohon maaf selepas Milan kalah memalukan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

gennaro-gattuso-cropped_1oifvo2hvldpy19pfeii148jce.jpg
AC MILAN 0 BENEVENTO 1

Bos AC Milan, Gennaro Gattuso, menyelar kekurangan semangat pasukannya sementara Pengarah Sukan, Massimo Mirabelli, mengakui malu dengan kekalahan 1-0 di laman sendiri kepada Benevento dalam Serie A di San Siro, awal hari ini.


Pietro Iemmello, yang tenang menyudahkan jaringan babak pertama, membuatkan Milan tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut dalam Serie A dan kini berada di tangga keenam yang terdedah kepada bahaya terlepas kelayakan ke Liga Europa.

Gattuso dan Mirabelli memohon maaf kepada peminat Milan selepas kekalahan memalukan di tangan Benevento itu.

"Jelas melihat pasukan semakin teruk. Apabila kamu bermain tanpa jiwa, kamu akan dimalukan seperti ini," kata Gattuso kepada Mediaset Premium.

"Tidak kira kami bermain dengan dua, tiga atau empat penyerang, ia kerana kami tidak mempunyai kekuatan psikologi untuk melakukan apa-apa. Kami pada dasarnya mengambil ringan lawan, kami tidak memberi tekanan kepada mereka.

"Kami perlu memohon maaf kepada peminat kerana kami memakai jersi berprestij dan kami tidak boleh memiliki malam yang memalukan seperti ini," katanya.

Mirabelli meluahkan kekekcewaan sama apabila keputusan itu bakal menyaksikan Milan terkeluar daripada kelompok enam teratas awal pagi nanti, satu kedudukan yang akan menyebabkan mereka perlu mengalahkan Juventus dalam final Coppa Italia bulan depan bagi memastikan tempat di pentas Eropah.

"Kami mesti memohon maaf kepada peminat akibat kekalahan ini. Tidak nafikan rasa hormat kepada Benevento tetapi Milan tidak sepatutnya tewas perlawanan ini," kata Mirabelli.

"Kami malu dengan persembahan ini tetapi jangan biarkan diri kami terganggu. Apabila kamu menukar ramai pemain dalam satu musim, perkara seperti ini boleh berlaku.

"Kami mempunyai idea jelas tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya dalam pasaran perpindahan dan kami tahu di mana kami perlu campur tangan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video