Skip to main content

Bola Sepak

Gattuso mahu kekal terajui Rossoneri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

gennarogattuso-cropped_qp6u8lv3x7ib131ok1qqjj09l.jpg
Gennaro Gattuso mahu kekal selaku pengendali AC Milan secara tetap selepas membawa pasukannya melangkah ke pusingan 16 Liga Europa.

Gattuso dinaikkan pangkat daripada skuad muda Primavera untuk membimbing pasukan utama sehingga penghujung musim ini ekoran pemecatan Vincenzo Montella pada November lalu.

Bekas pemain tengah Milan itu pantas membuktikan kebolehannya apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dalam semua kejohanan selepas menundukkan Ludogorets 1-0, sekali gus meneruskan kemaraan dalam Liga Europa dengan agregat 4-0.

Pengarah sukan kelab, Massimiliano Mirabelli, menyatakan hasrat untuk mengekalkan khidmat Gattuso sehingga musim depan dan pengurus berusia 40 tahun itu pantas memberikan persetujuannya.

"Anda harus bertanya kepada kelab tentangnya kerana saya sentiasa memberikan jawapan sama. Saya mempercayai perkara itu.

"Satu penghormatan buat saya apabila mengendalikan Milan dan walaupun berdepan pelbagai tanggungjawab dan tekanan, saya menyukainya. Jadi, saya gembira untuk terus mengurus pasukan ini," ujar Gattuso.

Fabio Borini menjaringkan gol tunggal dalam aksi di San Siro dan Gattuso jelas gembira pasukannya dapat melepasi cabaran juara Bulgaria itu.

"Saya tidak mahu dibolosi dan percaya barisan pertahanan akan menjalankan tugas dengan baik. Walaupun ia tampak seperti perlawanan yang mudah, saya tetap tidak senang duduk kerana dalam aksi sebegini, apa sahaja boleh berlaku.

"Ricardo Montolivo beraksi buat kali kedua dalam masa tiga hari dan bermain dengan baik. Manuel Locatelli masih mampu memberikan sesuatu buat pasukan. Christian Zapata tidak bermain sejak aksi bertemu Rijeka dan mempamerkan persembahan positif. 

"Nikola Kalinic membuatkan saya teruja dan walaupun Andre Silva tidak menjaringkan gol, dia tetap mengharungi perlawanan yang baik. Patrick Cutrone hanya perlu terus meningkatkan sentuhannya dan dia juga boleh beraksi di bahagian sayap," katanya.

Advertisement

Must Watch Video