Skip to main content

Bola Sepak

Gary Neville kecam cara Manchester United tangani kes Mason Greenwood

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

greenwood.jpg
Gary Neville percaya badan bebas harus diberi peranan untuk menyiasat dakwaan serius yang dibuat terhadap pemain bola sepak sambil mengkritik cara Manchester United mengendalikan kes Mason Greenwood.

Malam tadi, United mengumumkan bahawa penyerang muda itu akan meninggalkan kelab berkenaan atas persetujuan bersama selepas digantung sejak Januari 2022 atas dakwaan menyerang seorang wanita dengan imej dan videonya disiarkan di atas talian.

Tuduhan terhadap pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu termasuk cubaan merogol dan menyerang telah dihentikan oleh Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota pada Februari tahun ini, United kemudian menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu. 

Begitupun, Neville berasakan kelab itu telah terlambat untuk mencapai keputusan yang tepat dan bekas kapten United tersebut terkejut dengan cara bekas majikannya menangani situasi berkenaan selain memohon agar supaya ia perlu dijadikan contoh bahawa adalah tidak sesuai kemelut seperti ini ditangani oleh kelab sendiri. 

Dia berkata di Sky Sports: “Mereka akhirnya mencapai kata sepakat. Sudah jelas sejak hari pertama lagi, bagi saya dan sesiapa sahaja yang melihat bukti yang dikeluarkan pada awalnya, jelas dia sudah tidak akan mewakili Manchester United.

“Saya akan mengatakan bahawa proses untuk sampai ke sana agak mengerikan. Apabila anda berdepan situasi yang ketara dan sukar seperti ini, ia memerlukan kepimpinan yang berwibawa, itu yang paling mustahak dan Manchester United tidak mempunyai ciri-ciri itu.

 

“Mengenai isu seperti penderaan rumah tangga dan keganasan terhadap wanita, perlu ada badan bebas. Manchester United tidak sepatutnya menjadi hakim dan juri dalam isu yang begitu penting sebegini, bukan hanya untuk diri mereka sendiri malah kepada sukan ini. 

"Orang ramai bercakap tentang reputasi yang mampu menjejaskan Manchester United tetapi ini juga adalah kancah Liga Perdana Inggeris (EPL). 

“Pada pandangan saya apabila membabitkan isu kepentingan dan berat seperti ini, ia harus ditangani oleh panel bebas kerana sudah jelas bahawa Manchester United tidak mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk menangani situasi ini dengan tepat. 

"Ia jauh melebihi gred pengalaman dan keupayaan mereka.”

Advertisement

Must Watch Video