BUNDESLIGA

Gandingan Reus-Gotze makin mantap -- Stoger

Penulis Jemputan 03/05/2018 | 23:06 MYT
Jurulatih Borussia Dortmund, Peter Stoger, menyifatkan pentingnya gandingan di antara Mario Gotze dan Marco Reus membantu pergerakan pasukan ketika melancarkan serangan.
Kedua-dua pemain ini mengalami kesukaran dalam tempoh beberapa tahun ini kerana dihimpit masalah kecederaan dan gagal berada di tahap kecergasan terbaik tetapi sejak kebelakangan ini, Gotze-Reus merupakan ancaman utama ketika berdepan pasukan lawan.
Gotze melakukan umpanan kepada Reus untuk meledak gol kedua Dortmund ketika mengatasi Bayer Leverkusen 4-0 pada 21 April lalu sebelum memainkan peranan penting dalam gol pembukaan berdepan Werder Bremen, Ahad lalu.
Kedua-duanya bakal mendapat peluang beraksi dalam Piala Dunia dan Stoger berasakan kualiti yang dipamerkan oleh kedua-duanya sangat bagus.
"Interaksi di antara kedua-dua pemain sangat baik," kata Stoger.
"Mereka mengenali satu sama lain, cara mereka bermain dan saya amat berpuas hati dengan persembahan mereka.
"Hantaran, larian dan corak yang dipamerkan oleh mereka membenarkan jentera serangan pasukan bebas bergerak dan mudah mencipta ruang," katanya lagi.
;