LIGA INGGERIS
Fulham rindu kelibat Aleksandar Mitrovic
Pengurus Fulham, Marco Silva, mengakui penggantungan lapan perlawanan yang terpaksa dilaksanakan Aleksandar Mitrovic bukan sahaja telah menjejaskan bahagian serangannya, malah seluruh kelab London barat itu.
Sehubungan itu, penggempur Serbia tersebut bakal terlepas pertemuan dengan Leicester, awal pagi esok, yang merupakan perlawanan terakhir penggantungannya sejak kejadiannya dengan pengadil, Chris Kavanagh, dalam kekalahan Piala FA di Manchester United, Mac lalu.
Silva berkata kakitangannya melakukan segala yang terdaya untuk memastikan Mitrovic bersedia untuk bertemu Southampton hujung minggu ini sambil menjelaskan ia bukanlah satu proses yang mudah.
Pemain berusia 28 tahun itu telah menyumbangkan 11 gol dalam 21 penampilan sebelum penggantungannya, lantas pengurus Fulham tersebut mengakui hukuman ke atas Mitrovic telah menjejaskan struktur kelab berkenaan.
“Sudah tentu ini merupakan satu tempoh yang sukar buatnya sebagaimana yang kita jangkakan,” katanya.
“Dia sedang bekerja keras, ia harus seperti itu tanpa kesempatan (untuk diturunkan) dan kelibatnya dalam beberapa hari ini sedikit lebih baik dari hari lain.
“Sebulan lalu dia menyedari bahawa dia akan terlepas lapan perlawanan, ia sesuatu yang benar-benar sukar buat mana-mana pemain.
“Jika anda mengalami kecederaan, misalnya masalah otot atau sesuatu yang kami tahu, maka ia adalah sebahagian daripada bidang ini.
“Tetapi cara ia berlaku termasuk layanan terhadap senario ini benar-benar sukar, bukan Mitro sahaja bahkan saya perlu katakan buat keseluruhan kelab ini. Kami menjangkakan sesuatu yang buruk.”