Skip to main content

Bola Sepak

Freiburg mahu kemenangan Bayern Munich dibatalkan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

goretzka.jpg
FREIBURG 1 BAYERN 4 

Bayern Munich mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi atas kesilapan teknikal melibatkan pemain gantian dalam pertembungan di Freiburg sebentar tadi apabila menurunkan 12 pemain serentak. 


Pendahulu Bundesliga itu sedang menerajui perlawanan 3-1 menuju kemenangan 4-1 yang menyaksikan pengurus Bayern, Julian Nagelsmann, memilih untuk melakukan dua pertukaran serentak pada lewat permainan apabila mengeluarkan Corentin Tolisso dan Kingsley Coman dan memasukkan Marcel Sabitzer dan Niklas Sule.

Bagaimanapun, Coman tidak menyedari dia perlu keluar memandangkan nombornya tidak disiarkan di papan tanda pembantu pengadil jadi dia terus kekal beberapa saat di atas padang sebelum pengadil, Christian Dingert, bertindak sebaik menyedarinya. 

Insiden itu mungkin menyaksikan Bayern berdepan kemenangan dibatalkan.

Peraturan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) mencadangkan Freiburg boleh diisytiharkan sebagai pemenang dengan keputusan 2-0.

Menurut perenggan 17, artikel 4 buku peraturan itu: "Jika seseorang pemain tidak layak untuk beraksi atau diturunkan dalam permainan, pasukan bersalah yang menurunkan pemain ini akan tewas 0-2 dan lawan pihak diisytiharkan pemenang 2-0."

Peraturan ini hanya akan digunakan sekiranya pengadil membenarkan perlawanan untuk diteruskan seperti yang berlaku dalam insiden ini. Pemain ke-12 di atas padang dianggap tidak layak untuk mengambil bahagian.

Nagelsmann kemudian mengulas mengenai insiden pelik itu: "Yang salah adalah nombor di papan tanda itu, ia tidak tertera nombor 11 yang disarung Kingsley. Kesilapan telah berlaku. Dari sudut pandangan kedua-dua pasukan, dari sudut pandangan sukan yang adil, saya tidak mahu menafikannya (kesilapan). Kami memperagakan permainan yang menarik di sini, kemudian semua orang mula mempersoalkan tentang peraturan."





Pengurus Freiburg, Christian Streich, yang muncul dalam sidang akhbar selepas perlawanan menegaskan aspek peraturan tidak seharusnya diabaikan.

Streich berkata: "Saya pasti tidak akan ada bantahan dan rayuan daripada kami tetapi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

"Wujudnya peraturan tetapi timbul pula banyak spekulasi. Kami mempunyai buku peraturan dan itulah yang perlu kami patuhi. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana tiada apa yang boleh saya katakan lagi."

Pengadil itu seperti yang dipetik daripada TZ berkata: "Ia adalah situasi yang benar-benar keliru: Ia pertukaran berganda daripada Bayern Munich. Pada mulanya nombor yang salah telah dipaparkan, itulah sebabnya Coman tidak memberikan perhatian kepadanya kerana memakai nombor 11.

"Sebab itu ada 12 pemain di atas padang dalam masa yang singkat, ia tidak sepatutnya berlaku. Sebaik perasan kami terus menghentikan permainan.

"Ia menjengkelkan bagi kami sendiri kerana sekarang ini sudah tentu adegan ini bakal menjadi tumpuan. Kami akan teliti perkara ini dalam laporan permainan. Perlawanan ini mempunyai 12 pemain (Bayern) selama 15, 16 saat. Tiada gol berlaku. Kami ambil maklum dan segala-galanya akan diputuskan oleh DFB."

Leon Goretzka, sekembalinya daripada kecederaan, merobek gawang lawan untuk gol pembukaan Bayern sebelum Serge Gnabry, Coman dan Sabitzer turut mencetak nama selaku penjaring. 

Gol sagu hati Nils Petersen itu pula merupakan jaringan ke-100 peribadinya sepanjang mewakili Freiburg. 

Advertisement

Must Watch Video