Skip to main content

Bola Sepak

Format Piala FAM, Presiden, Belia dirombak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

undian-fam.jpg
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan hanya satu perlawanan akhir untuk kejohanan Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia berbanding final timbal balik seperti musim lalu bagi memastikan persaingan lebih sengit dalam perebutan kejuaraan musim ini. 

Ia antara perubahan format pertandingan yang dilakukan jawatankuasa berkenaan selain turut menghapuskan aksi suku akhir Piala FAM. 

Ini menyaksikan dua pasukan terbaik daripada kumpulan akan layak ke separuh akhir untuk merebut dua slot ke saingan Liga Perdana 2019.

"Sebelum ini, format itu membebankan dan menjejaskan prestasi pasukan itu sendiri.

"Tahun ini juga, kami hanya memperkenalkan satu final," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed. 

Perubahan itu, bagaimanapun, tidak dipersetuji beberapa pasukan, antaranya skuad Young Fighters bimbingan Omar Ali. 

"Kalau boleh buat lebih banyak perlawanan, lebih baik. 

"Kalau adanya peringkat suku akhir, maka pasukan lain masih berpeluang membuktikan kemampuan," katanya. 

Terdahulu, berlangsungnya majlis undian bagi tiga kejohanan itu di Shah Alam hari ini dengan tumpuan turut terarah kepada juara Piala Presiden 2017, Selangor, dan juara Piala Belia 2017, Kedah, apabila kedua-dua pasukan bertekad mempertahankan kejuaraan musim ini.

Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dua semifinalis musim lalu, Kelantan dan Kedah, serta lima pasukan musim lalu dan juga tiga pasukan baru, MISC-MIFA, Perlis dan Selangor United.

Kumpulan B pula membariskan naib juara musim lalu, Terengganu yang tampil dengan nama baharu, Terengganu FC III, serta 10 pasukan lama yang sama-sama beraksi pada musim lalu, antaranya dua pasukan yang terkandas dalam suku akhir, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Bagi saingan Piala Belia 2018, Kedah diundi dalam Kumpulan B di samping dua pasukan baharu -- UiTM FC dan SSMP-AMD Panthers B-16 -- serta lapan pasukan musim lalu.

Kumpulan A pula diketuai semifinalis musim lalu, Terengganu yang tampil dengan nama baharu -- Terengganu FC IV -- serta tujuh pasukan lama musim lalu dan juga tiga pasukan baharu, PKNP FC, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-16 dan SSMP-AMD Cougars B-16.

Naib juara musim lalu, SSMP B-17, tidak mengambil bahagian musim ini bersama-sama pasukan SSTMI B-16.

Saingan Piala Belia 2018 akan bermula pada 21 Februari, diikuti Piala Presiden 2018 sehari selepas itu dan Piala FAM 2018 pada 25 Februari.
 

Advertisement

Must Watch Video