BOLA SEPAK
Flick jadi korban pembinaan semula Jerman
Pada tahun 2020, di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, terdapat satu pasukan yang tetap kekal unggul dan mengatasi segala cabaran di atas atau di luar padang.
Pasukan itu adalah Bayern Munich yang diterajui oleh pasangan penyerang dinamik, Robert Lewandowski dan Thomas Muller, dengan Hansi Flick sebagai pengurus yang merancang segala strategi di belakang tabir.
Trofi Bundesliga, Piala Jerman (DFB-Pokal) serta Liga Juara-Juara UEFA (UCL) berjaya mereka julang dengan penuh bergaya dalam satu musim yang sama.
Tiga tahun kemudian, Lewandowski berhijrah ke Barcelona untuk mengisi posisi penyerang utama, Muller masih kekal bersama Bayern sebagai pemain penting manakala Flick pula beralih ke peranan lebih besar sebagai pengurus pasukan kebangsaan Jerman.
Malang sekali buat Flick, tidak seperti bekas pemain bimbingannya, kejayaan masa lalu gagal untuk direplika, malah kegagalan besar pula yang melanda.
Pasukan kebangsaan Jerman mengharapkan sentuhan ajaib Flick untuk bangkit semula dari tempoh penuh mendukacitakan di bawah pimpinan pengurus terdahulu, Joachim Low, yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dan gagal mencatatkan sebarang pencapaian membanggakan semenjak tragedi itu.
Flick membimbing skuad Jerman dalam 25 perlawanan sepanjang tempoh dua tahun tetapi tiada sebarang keajaiban yang kunjung tiba, malah Jerman sekali lagi tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 gara-gara tewas 2-1 di tangan Jepun.
Seolah-olah menjadi satu badi, Jerman sekali lagi tewas kepada negara yang sama dalam perlawanan persahabatan kelmarin, kali ini dengan skor yang lebih teruk lagi, iaitu 4-1.
Akibat belasahan itu, keresahan mula melanda seluruh negara dan saluran media Jerman kelihatan sebulat suara bersetuju bahawa Flick harus disingkirkan segera, terutama sekali akhbar Bild yang menggelarnya ‘pengurus pasukan kebangsaan paling teruk sepanjang zaman’.
Flick sendiri kelihatan kekal positif dalam temu bual pasca perlawanan, malah mengucapkan ayat ‘saya adalah pengurus yang paling layak’ ketika ditanya tentang masa depan pasukan, tetapi nyatalah tiada sesiapa yang bersetuju dengan keyakinannya itu.
Dalam tempoh 24 jam, presiden Pertubuhan Bolasepak Jerman, Bernd Neuendorf dan Pengarah Pasukan Kebangsaan, Rudi Voller, memaklumkan kepada Flick bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan.
Dengan berakhirnya perjalanan Flick, harus kita renung dan tanyakan – di mana silapnya dan mengapa pengurus yang pernah mengecapi kejayaan membanggakan gagal teruk pula kali ini?
Faktor utama yang wajib dipertimbangkan adalah komposisi pasukan.
Sewaktu bersama Bayern, skuad bimbingannya merupakan gabungan di antara pemain veteran yang penuh pengalaman dan pemain muda berbakat besar yang sedang meningkat naik.
Percaturan taktikal Flick mampu difahami dan diaptasi dengan baik sekali gara-gara pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain penting, menjurus kepada kejayaan demi kejayaan.
Sebaliknya, pasukan kebangsaan Jerman dirangkumi oleh majoriti pemain muda dan kekurangan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, menyebabkan gaya permainan yang diinginkan Flick sukar untuk ditunjukkan sepenuhnya.
Gaya permainan yang disebutkan mementingkan aspek serangan dan memberi tekanan berterusan terhadap lawan, sesuatu yang nyata berjaya dipamerkan oleh Bayern, tetapi sukar sekali untuk dipindahkan ke pasukan kebangsaan.
Ini disukarkan lagi dengan faktor tempoh latihan yang terhad serta keperluan untuk Flick memahami dan beradaptasi dengan profil-profil pemain yang berbeza demi mencapai keputusan yang konsisten.
Mungkin juga beban harapan seluruh negara yang diletakkan di bahu Flick terlalu berat untuk digalas meskipun dia dikenali sebagai seorang yang penuh optimis dan tekad.
Pada akhirnya, tindakan yang diambil untuk menyingkirkan Flick merupakan satu peringatan tentang sifat dunia bola sepak yang tidak kenal erti belas kasihan serta senantiasa diselubungi tekanan dari pelbagai arah.
Tambahan, dengan peranan sebagai tuan rumah Kejohanan Euro 2024, beban harapan agar Jerman kembali sebagai satu pasukan digeruni tidak sedikit pun berkurangan, malah menjadi lebih besar lagi.