Fitri belum putus asa capai impian ke Selangor

Shaiful Shamsudin
Oktober 18, 2020 21:16 MYT
Hasrat Fitri Omar untuk menyarung jersi Selangor tidak pernah pudar sekalipun sudah berusia 35 tahun.
Pemain serba boleh itu kini masih berjuang dalam Liga Super dengan membarisi Petaling Jaya (PJ) FC yang menamatkan saingan musim ini di tangga keenam.
"Sebenarnya saya tidak menunggu (tawaran daripada) pasukan-pasukan lain.
"Setiap kali selepas solat saya berdoa agar dapat menyertai Selangor, tidak kisah Selangor II mahupun pasukan senior.
"Berilah saya peluang terakhir untuk menyertai Selangor sepanjang karier ini," katanya.

Here are some actions taken from the match against PDRM last night. FULL TIME PJ City FC 4 - 1 PDRM FC 42' - Washington...

Posted by PJ City FC on Saturday, October 10, 2020
Pemain kelahiran Sabak Bernam itu pernah menyertai beberapa pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga-M) seperti Kelantan, Kedah, Terengganu tetapi dia terkilan apabila niat untuk memenuhi impian arwah bapanya untuk melihatnya menyertai Gergasi Merah tidak kesampaian.
"Lapan tahun sebelum sakit, dia tunggu saya kembali ke Selangor.
"Kali terakhir saya melawatnya (Ogos lalu) adalah sebelum dia masuk unit rawatan rapi (ICU). Sebelum itu saya ada berinya harapan dengan memberitahunya bahawa jurulatih, B. Sathianathan, ada membuat tawaran sementara juga Selangor hendak saya.
"Tetapi dia tidak tahu pun musim ini saya bermain untuk PJ City. Sejak dia sakit, dia langsung tidak mengambil tahu pasal bola sepak lagi.
"Mungkin dia akan tengok saya bermain untuk Selangor dari sana."
#liga super #Selangor #Fitri Omar #PJ City FC
;