SERIE A

Fiorentina kalahkan AC Milan untuk dapatkan Muriel

Penulis Jemputan 02/01/2019 | 01:17 MYT
Forentina menewaskan AC Milan dalam perebutan penyerang Sevilla, Luis Muriel, secara pinjaman.
Pemain kebangsaan Colombia itu memecahkan rekod pembelian Sevilla ketika menyertasi pasukan itu daripada Sampdoria dengan yuran perpindahan €22 juta (RM104.2 juta) pada Julai 2017, namun dia gagal memaparkan aksi yang setaraf dengan nilai tersebut.
Penyerang berusia 27 tahun itu hanya menjaringkan tujuh gol dalam 29 penampilannya dalam LaLiga musim lalu.
Keadaan itu jelas memberikan kekecewaan buat penyokong pasukan itu yang menganggap Muriel tidak mempunyai sentuhan pemusnah di depan gawang lawan.
Di bawah kendalian pengurus baru, Pablo Machin, Muriel hanya beraksi dalam enam perlawanan liga musim ini dengan Wissam Ben Yedder dan Andre Silva merupakan pilihan utama di jentera serangan.
Milan sebelum ini dilihat sebagai pasukan pilihan yang akan memiliki Muriel bagi memberikan kelainan dalam jentera serangan pasukan itu.
Namun, Fiorentina secara tiba-tiba berjaya mencapai persetujuan bagi memiliki penyerang itu.
Muriel menyertai kelab itu menerusi pinjaman, namun mereka berhak mendapat pemilikan penuh dengan pembayaran €13 juta (RM61.5 juta), musim depan.
Sebagai rekod, Fiorentina merupakan pasukan Itali keempat yang disertai Muriel selepas Lecce, Udinese dan Sampdoria.
;