Skip to main content

Bola Sepak

Finalissima: Itali tidak sepatutnya gagal ke Piala Dunia, kata Scaloni

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

argentina-coach-lionel-scaloni.jpg
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, berkata Itali tidak sepatutnya gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Juara Euro 2020, Itali, akan berdepan juara Copa America, Argentina, dalam aksi 'Finalissima' di Stadium Wembley, England awal pagi esok.

Tetapi kedua-dua pasukan berkenaan tidak akan dapat bertemu dalam Piala Dunia Qatar pada November depan memandangkan Itali tidak layak ke kejohanan terbesar itu buat tahun kedua berturut-turut -- selepas tewas kepada Macedonia Utara dalam perlawanan playoff pada Mac lalu.

Kegagalan itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan Roberto Mancini dan sistem bola sepak di Itali juga kelihatan gagal menghasilkan pemain muda terbaik buat Azzurri, yang terpaksa menggunakan pemain veteran seperti Giorgio Chiellini dan Ciro Immobile di peringkat antarabangsa.

Scaloni, bagaimanapun, mempertahankan rakan sejawatannya itu sambil meluahkan rasa terkilan kerana Itali tidak dapat beraksi dalam Piala Dunia.

"Itali tidak sepatutnya gagal ke Piala Dunia, mereka masih lagi juara Eropah, satu pasukan yang hebat," kata Scaloni kepada wartawan.

"Ada sesuatu perlawanan di mana bola tidak mahu masuk ke gawang gol dan begitulah anda boleh tewas sesuatu perlawanan.

"Tetapi Mancini telah melakukan tugas yang amat baik, memulihkan identiti Itali dengan amat jelas selepas beberapa tahun.

"Saya tidak fikir dia akan melakukan banyak perubahan ketika ini, sama ada hanya perubahan kecil seperti kami.

"Ia berlaku kepada semua pasukan kebangsaan, lambat atau cepat mereka perlu berubah.

"Kini mereka boleh memulakannya semula," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video