Final UCL: Benzema isytihar Madrid sekali lagi jadi pasukan terbaik
Muzaffar Musa
Mei 29, 2022 09:41 MYT
Mei 29, 2022 09:41 MYT
Karim Benzema dengan penuh bangga berkata "kami sekali lagi jadi pasukan terbaik" selepas Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Paris awal pagi tadi.
Pemain kebangsaan Perancis itu dapat melihat bertapa Liverpool kerap memberikan ancaman ke atas gawang Madrid sepanjang babak pertama di Stade de France.
Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu melakukan lima percubaan tepat sepanjang babak pertama -- sama banyak jika dua aksi final mereka sebelum ini digabungkan (dua pada 2018 dan tiga pada 2019).
Sepanjang tempoh itu juga, Benzema berhasil menemui jaring lawan tetapi dia terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid.
Bagaimanapun, Vinicius Junior kemudian menjaringkan gol tunggal perlawanan sebelum sejam permainan dan Thibaut Courtois pula cemerlang menafikan setiap percubaan Liverpool untuk Madrid melebarkan rekod kejuaraan Eropah terbanyak dengan gelaran ke-14.
Benzema turut menjadi kapten Perancis kedua menjulang trofi tertinggi peringkat Eropah itu selepas Didier Deschamps melakukannya bersama Marseille pada 1993 dan penyerang utama Madrid itu segera memuji pasukannya.
? LEGENDARY. ? #CHAMP14NS pic.twitter.com/RO0ezfFmdL
— Real Madrid C.F. ???? (@realmadriden) May 28, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kami sekali lagi jadi yang terbaik. Ia musim yang sukar buat kami dan kami sekali lagi layak mendapatkannya," katanya kepada Movistar.
"Perlawanannya amat sukar tetapi kami menunjukkan kepada semua orang bahawa kami masih hidup dan menang. Aksi final sentiasa melibatkan kerja keras dan keletihan.
"Kami menjaringkan gol yang ofsaid, berada di depan dalam babak kedua dan akhirnya memenangi perlawanan akhir."
Benzema turut meluahkan kegembiraannya dalam memenangi UCL di negaranya dan turut mengintai Anugerah Ballon d'Or tahun ini sebelum beraksi dalam Piala Dunia Qatar bersama Perancis.
"Ia amat bermakna buat saya, ia amat penting, saya amat berbangga," tambahnya.
Mengenai Anugerah Ballon d'Or, pemain berusia 34 tahun itu menambah: "Ayuh kita lihat adakah ia akan berlaku. Harap-harap begitu, Tetapi apa yang lebih penting adalah menikmati kejayaan hari ini."