Final Piala Suzuki AFF: Thailand buat Indonesia terus kempunan gelaran

Muzaffar Musa
Januari 1, 2022 22:51 MYT
THAILAND 2 INDONESIA 2
(Thailand bergelar juara dengan kemenangan agregat 6-2)
Hasrat Indonesia untuk bangkit daripada ketinggalan empat gol secara agregat dan menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Thailand dalam aksi final kedua di Stadium Nasional Singapura, Kallang sebentar tadi.
Gol daripada Adisak Kraisorn dan Sarach Yooyen, yang diapit jaringan Ricky Kambuaya dan Egy Maulana Vikri buat Indonesia, sudah cukup untuk menobatkan pasukan Gajah Perang itu selaku juara buat kali keenam selepas turut memenangi kejohanan serantau itu dalam edisi 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.
Biarpun membawa kelebihan besar selepas memenangi perlawanan pertama 4-0 pada Rabu lalu, Thailand, bagaimanapun, bergelut untuk menyaingi rentak permainan pantas Indonesia sehingga dibolosi oleh sepakan dari luar kotak penalti Ricky Kambuaya seawal minit ketujuh.
Namun, pasukan bimbingan Alexandre Polking itu bangkit memaparkan aksi berbeza dalam separuh masa kedua untuk menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit.
Pemain gantian, Adisak, hanya memerlukan sembilan minit selepas dimasukkan untuk menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang Garuda pada minit ke-54 sebelum Sarach menghasilkan melepaskan rembatan kencang dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Nadeo Argawinata, buat kali kedua pada minit ke-56.
Pemain tengah Indonesia, Egy Maulana Vikri, sekurang-kurangnya memastikan Indonesia tidak tewas dalam perlawanan itu menerusi jaringan penyamaannya pada minit ke-80 tetapi akur pasukannya sekadar bergelar naib juara buat kali keenam selepas edisi 2000, 2002, 2004, 2010, 2016.
*Kredit foto: FA Thailand
#bola sepak #Thailand #Indonesia #Piala Suzuki AFF
;