BOLA SEPAK
Final Piala Menteri Pendidikan Tinggi: UKM tidak rela kecewa sekian kali, UniKL rendah diri
Ketua jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Raffiq Roslan, menegaskan pasukannya bakal menghadapi Piala Menteri Pendidikan Tinggi dengan misi menebus kekecewaan selepas muncul naib juara musim lalu.
Raffiq percaya anak buahnya tidak rela dikecewakan buat kali kedua selepas tewas 0-3 kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di pentas final, apatah lagi mereka akan beraksi di laman sendiri, malam esok.
"Kami kehilangan dua pemain utama.
"Kami tiada jumlah pemain yng besar jadi kecederaan dan penggantungan ini sedikit mengganggu.
"Pemain saya sudah bersedia, apa pun yang terjadi terutama pemain simpanan perlu bersedia.
"Kami kembali beraksi di pentas final dan mahu memenangi kejuaraan tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di Stadium UKM, Bangi, hari ini.
Untuk rekod, UKM yang bakal turun selaku pasukan pilihan sudah mendakap kejuaraan Piala Menteri Pendidikan Tinggi sebanyak tiga kali iaitu pada 2012, 2014 dan 2019.
Sementara itu, pengendali UniKL, Mohd Zaharull Hamdan, melabel pasukannya dalam motivasi terbaik.
Sedar akan kekuatan lawan, Zaharull optimis barisan taruhannya mampu mencipta kejutan dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-11 itu.
"Kami pasukan kerdil dan langkah demi langkah kami mara ke peringkat kelyakan sebelum ke divisyen 2.
"Ini tahun pertama kami dalam divisyen 1 dan layak ke peringkat akhir ini satu pencapaian yang besar.
"Kalau pergi ke final dan menang maka ia satu bonus," katanya.