Final Piala Malaysia: Tengok di stadium ke tonton di televisyen?

Suzana Basri
Disember 8, 2023 14:50 MYT
Hari ini terasa aneh. Sepanjang 10 tahun berkhidmat dengan Astro Arena, ini kali pertama saya tidak bertugas menyampaikan berita pada hari penentuan, final Piala Malaysia.
Disebabkan tuntutan kerja yang lebih banyak di studio, saya sebenarnya jarang mendapat peluang untuk menyaksikan sesebuah perlawanan bola sepak secara langsung di stadium.
Bagaimanapun, ia tidak sedikit pun mengurangkan debaran dan kehangatan sepanjang 90 minit pertarungan berlangsung.
Malah, saya sebenarnya lebih selesa menonton di televisyen.
Ditambah pula dengan siaran dalam definasi tinggi (HD) yang ditawarkan Astro.
Lebih jelas dan dapat menangkap setiap situasi dengan pantas.
Bagaimanapun, pada 2017, ketika Johor Darul Takzim (JDT) menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia (selepas penjenamaan semula pada 2013) dengan menundukkan Kedah 2-0, Astro bukanlah penyiar rasmi kejohanan.
Saya masih ingat, kru yang bertugas malam itu berkumpul di hadapan televisyen besar yang tersedia di bilik berita. Menanti penuh debar.
Apakah JDT, yang ketika itu sudah mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara muncul juara Piala AFC, mampu melengkapkan koleksi kejuaraan (selepas Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala FA) pada tahun itu?
Atau Kedah yang kembali ke pentas akhir Piala Malaysia sebagai juara bertahan akan membawa trofi berprestij itu ke utara tanah air buat kali keenam?
Namun, belum sempat di antara kami menghabiskan hujah dan telahan masing-masing, JDT sudah pun di depan apabila sepakan penjuru pertama malam itu yang dipertanggungjawabkan kepada Safiq Rahim singgah tepat kepada Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang menanduk masuk gol pembukaan JDT untuk meninggalkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim, terpinga-pinga.
Apa yang berlaku seterusnya malam itu orang putih kata the rest is history – JDT menjulang trofi yang menjadi idaman mereka di hadapan 80 ribu penyokong yang membanjiri Stadium Shah Alam – lokasi neutral final Piala Malaysia 2017, yang kini sudah sepi tanpa sebarang acara dan menanti untung rugi nasibnya sahaja.
Bagaimana pula cerita 90 minit di atas padang yang penuh kontroversi – Stadium Nasional Bukit Jalil -- malam ini?
Baik rumput dan padang, riak wajah pemain dan jurulatih kedua-dua pasukan, semuanya boleh disaksikan dengan jelas menerusi siaran HD yang ditawarkan di saluran 801, 803 mahupun player cam 799.
Tetapi kalau ada rezeki, tahun ini kita jumpa di stadium okay.
May the best team win!
#Piala Malaysia #Terengganu FC #Johor Darul Ta'zim FC #Rencana
;