Final Piala Malaysia: Solari rendah diri ketika buru sejarah empat kejuaraan berganda buat JDT
Muzaffar Musa
Disember 7, 2023 14:22 MYT
Disember 7, 2023 14:22 MYT
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari, kekal dengan sikap rendah diri dalam memburu sejarah baru bersama Harimau Selatan menjelang final Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
JDT menyapu bersih kesemua gelaran yang ditawarkan dalam Liga Malaysia musim lalu, iaitu dengan menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Harimau Selatan selangkah untuk mengulangi pencapaian itu, sekali gus menjadi pasukan pertama melakukannya buat dua musim berturut-turut.
Bagaimanapun, Solari tidak menganggap dirinya sebagai pencetus kejayaan itu, sebaliknya memberikan kredit buat kesemua individu yang terlibat dalam pasukan berkenaan.
"Saya tidak mencipta sebarang sejarah, jika ada pun, ia adalah TMJ (Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mencipta sejarah buat JDT," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Astro Arena.
"Saya hanya mencuba untuk memastikan pasukan ini beraksi lebih baik dan lebih mudah.
"Itu tugas saya dan saya hanya bergantung kepada pemain, mereka yang membantu dengan turun ke padang dan menunjukkan apa yang saya mahukan daripada mereka.
"Saya rasa gembira memiliki peluang untuk memenangi final ini. Kami dilahirkan untuk melakukan perkara seperti ini.
"Sebagai pemain bola sepak, dan kini sebagai jurulatih, saya gemarkan cabaran seperti ini.
"Setiap pemain dari zaman remaja sehingga ke penghujung karier, dan kemudian jika anda masih dalam bola sepak selaku staf, selaku jurulatih atau apa sahaja seperti itu, anda memiliki impian untuk menjadi sebahagian daripada cabaran seperti ini dan mahu memiliki peluang untuk melakar sejarah buat JDT seperti yang anda katakan, untuk melengkapkan tugasan ini.
"Tetapi bagi saya, ia sentiasa mengenai prestasi. Sebagai jurulatih, jika mereka dapat beraksi baik, itulah yang saya mahukan," katanya.