Final Piala Malaysia: Polis trafik hantar Azman Adnan ke studio Astro

Shaiful Shamsudin
Disember 8, 2023 17:03 MYT
Terengganu FC berdepan tugas berat tetapi tidak mustahil untuk memusnahkan impian juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), malam ini.
Walaupun keadaan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang tidak memuaskan selain statistik pertemuan tidak memihak Sang Penyu, ia tidak menghalang aura peminat kelab Pantai Timur itu untuk mencipta satu kejayaan manis.
"Pemain import, Sony Norde, akan menggerakkan Terengganu sementara Ivan Mamut merupakan seorang penyerang yang baik dengan kaki kiri yang baik.
"Kalau diberikan peluang, dia pasti mampu menjaringkan gol," kata bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan, ketika hadir ke studio Astro Arena, sebentar tadi.
Dalam masa sama, Azman mengakui bahang perlawanan akhir makin terasa dan dia terpaksa menumpang kenderaan dua roda untuk sampai ke studio berikutan jalan raya yang sesak di sekitar Bukit Jalil.
"Penyokong kena datang awal sebab keadaan sudah mula sesak.
"Saya patut ada di studio lebih awal sebab untuk prgoram Nadi Pesta Penyokong jam 3 petang.
"Saya masih sangkut di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 2.15 petang dan terima kasih kepada orang awam yang menghantar saya separuh jalan sebelum polis trafik membawa saya ke studio Astro," katanya.
#Piala Malaysia #Terengganu FC #Johor Darul Ta'zim FC
;