PIALA MALAYSIA

Final Piala Malaysia bukan pada 12 April 2025

Ammar Hakim 20/03/2025 | 09:45 MYT
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa tarikh baharu Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 telah ditetapkan pada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9.00 malam.
Berdasarkan pengumuman MFL sebelum ini, final edisi ke-98 itu pada awalnya dijadual berlangsung pada 12 April 2025 namun pertimbangan semula terpaksa dibuat selepas MFL mendapat permohonan rasmi daripada Sri Pahang FC serta persetujuan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Daripada maklum balas yang diterima daripada pasukan finalis itu mendapati, kebanyakan penyokong mengharapkan agar tarikh Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia dapat dianjak ke tarikh baharu untuk membolehkan mereka merancang perjalanan ke SNBJ.
Ini berikutan kekangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket memandangkan tarikh asal yang masih di tempoh awal perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Justeru MFL berharap, dengan tarikh baharu ini membolehkan urusan penjualan tiket final yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan finalis dapat disusun dengan lebih baik untuk memastikan kehadiran penyokong JDT dan Sri Pahang FC sekali gus menggamatkan pentas final itu nanti.
Untuk makluman, kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir pada 12 April 2025 akan kekal digunakan untuk penyokong masuk ke stadium pada tarikh baharu perlawanan akhir, 26 April 2025.
Susulan dengan penetapan tarikh baharu Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025, MFL akan melakukan pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
#bola sepak #JDT #Piala Malaysia #MFL #Sri Pahang