PIALA AFC

Final Piala AFC guna VAR

Sinar Harian 12/10/2022 | 08:35 MYT
Video bantuan pengadil (VAR) sah akan digunakan buat kali pertama di Malaysia dalam perlawanan akhir Piala AFC di antara Kuala Lumpur City FC menentang kelab Oman, Al-Seeb, pada 22 Oktober ini ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard, sambil memberitahu penggunaan VAR itu merupakan syarat dikenakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada tuan rumah sekiranya mahu menganjurkan perlawanan akhir berkenaan.
Selain itu, AFC turut meletakkan syarat supaya lampu limpah stadium perlu sekurang-kurangnya mencapai tahap 1800 Lux.
“Bagi aksi final Piala AFC nanti, penganjur meletakkan piawaian supaya stadium yang akan digunakan perlu menggunakan VAR dan lampu limpah sekurang-kurangnya 1800 Lux. Bagi teknologi VAR, ia sudah dalam perjalanan untuk dibawa ke Malaysia.
“Ini sudah tentu perkembangan yang bagus kerana ia akan memartabatkan lagi bukan sahaja bola sepak Kuala Lumpur tetapi seluruh Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan venue yang bakal menjadi pilihan untuk perlawanan akhir Piala AFC, Stanley tidak menolak kemungkinan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kalau kita lihat apa yang dimahukan AFC untuk perlawanan akhir nanti, saya rasa Stadium Bukit Jalil antara stadium yang menepati piawaian.
“Apa-apa pun kami akan membincangkan perkara tersebut dan mungkin pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” ujarnya.
Kredit: Sinar Harian
#Piala AFC #Kuala Lumpur City FC
;