PIALA AFC
Final Piala AFC: Declan Lambert tekad balas budi Kuala Lumpur City
Pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Declan Lambert, mengakui sedang meniti musim cemerlang dalam kariernya meskipun bergelut masalah kecergasan pada awal musim ini.
Bagaimanapun, menurut Declan, masalah itu berjaya selesai dengan bantuan jurulatih dan minit permainan bersama The City Boys musim ini.
Justeru, dia mahu membalas kepercayaan itu dengan menampilkan aksi terbaik menentang Al Seeb dan berharap mampu membantu pasukannya menjulang kejuaraan tersebut.
“Setakat ini saya melalui musim ini dengan sangat baik apabila berjaya mendapat panggilan beraksi bersama skuad kebangsaan dan berjaya layak ke final Piala AFC.
"Walaupun pada mulanya ia berjalan kurang baik kerana masalah kecergasan disebabkan kurang minit perlawanan, namun saya kembali ke tahap yang lebih baik dengan bantuan jurulatih.
“Jadi, saya berharap dalam perlawanan akhir nanti dapat pamerkan aksi terbaik, sekali gus mampu membantu KL City menjuarai Piala AFC,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengenai lawan dari Oman itu yang akan ditentang esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Declan mengakui Al Seeb merupakan pasukan yang kuat terutama di barisan serangan.
Begitupun, Declan percaya ia bukan satu perkara yang mustahil mengekang barisan serangan lawan sambil berharap aksi ketika menentang kelab India dan Uzbekistan dapat dijelmakan dalam perlawanan akhir kelak.
“Sudah tentu ia bukan perlawanan akhir yang mudah.
"Jadi, saya harap barisan pertahanan KL City dapat beraksi pada tahap terbaik masing-masing,” katanya kepada Nadi Arena, malam tadi.