Pemain tengah berpengalaman Lubnan, Rabih Ataya, menjangkakan perlawanan sukar menanti pasukannya dalam final Pestabola Merdeka menentang skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Bagaimanapun, bekas pemain Kedah Darul Aman itu menegaskan mereka tidak akan memberi laluan mudah buat Harimau Malaya, yang pastinya akan turun dengan misi menebus kekecewaan tewas kepada Tajikistan dalam final edisi tahun lalu.
Perancang berusia 35 tahun itu turut mengakui Malaysia memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri tetapi ia bukan satu halangan untuk mereka meraih kejuaraan sulung Pestabola Merdeka.
"Ia pasti sukar kerana kami bermain di Malaysia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Tetapi saya kenal semua pemain, saya kenal rakan-rakan saya. Apabila kami bermain dalam keadaan sukar, kami akan bermain dengan lebih baik.
"Saya kenal pemain Malaysia seperti Safawi Rasid, Faisal Halim, mereka pemain yang amat bagus.
"Tetapi kami perlu bermain dengan cara yang sama untuk berdepan Malaysia. Insya-Allah kami akan bermain dengan baik.
"Apabila kami bermain dalam final, kami perlu memberikan segalanya dan sekiranya menang, ia akan menjadi trofi pertama yang akan kami bawa pulang ke Lubnan," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Sep 07 2024