BOLA SEPAK

Final Euro Wanita: Pemain gantian pastikan England lakar sejarah

Shaiful Shamsudin 31/07/2022 | 21:58 MYT
ENGLAND 2 JERMAN 1
Ketua pasukan England, Leah Williamson, menyifatkan kejayaan England menjulang Euro Wanita selepas membenam Jerman sebagai saat paling membanggakan dalam hidupnya.
Persembahan meyakinkan dalam penentuan gelaran di pentas Wembley sebentar tadi menyaksikan England meraih kemenangan 2-1 selepas masa tambahan apabila pemain gantian, Ella Toone dan Chloe Kelly, saling menyumbangkan jaringan.
Williamson menjulang trofi itu di hadapan seramai 87,192 penyokong yang memberi tabik hormat kepada mereka yang ditabalkan juara buat julung kalinya hasil garapan taktikal Sarina Wiegman -- pengurus yang membawa Belanda memenangi kejohanan sama lima tahun lalu.
"Saya tidak henti-henti mengalirkan air mata," katanya dalam wawancara BBC di tepi padang.
"Kita asyik bercakap dan bercakap dan kami bercakap, dan kami akhirnya dapat merealisasikannya. Ia hadir daripada usaha di atas padang dan saya ingin memberitahu anda -- masa depan generasi akan datang baik-baik saja!
"Ia adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya hingga hari saya mempunyai anak, jadi saya akan terus beraksi.
"Saya dinasihatkan untuk menghargai setiap saat yang ada kerana anda akan mahu menghidupkan peluangnya berulang kali dan saya boleh mengenangnya untuk jangka masa yang lama.
"Kejohanan ini mampu membawa perubahan dalam masyarakat. Ia adalah segala-galanya yang telah kami lakukan. Kami telah membawa semua orang bersama-sama. Kami mendapat sokongan padu dalam perlawanan dan kami mahu mereka datang ke perlawanan WSL (Liga Super Wanita), tetapi legasi pasukan ini adalah juara dan itulah permulaan sebuah perjalanan.
"Saya sayangkan semua orang. Saya sangat bangga menjadi orang Inggeris."
Sementara itu, Jerman yang terpukul apabila ketua pasukan merangkap penyerang berbisa, Alexandra Popp, terpaksa dikecualikan berikutan ditimpa kecederaan dalam latihan.
Dalam sesi pemanas badan sebelum sepak mula, Popp terpaksa akur bahawa kempennya sudah berakhir apabila tidak mampu menendang bola sekalipun.
Begitupun, ketua jurulatih Jerman, Martina Voss-Tecklenburg, meratapi keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang tidak menyebelahi barisannya selepas bola terkena tangan lawan.
#bola sepak #England #Euro Wanita
;