BOLA SEPAK

Final Euro Wanita: England waspada corak fizikal Jerman

Shaiful Shamsudin 31/07/2022 | 02:01 MYT
Sarina Wiegman berpesan pemain lincah England supaya bersedia menghadapi corak permainan fizikal Jerman dalam final Euro Wanita 2022.
Ketua jurulatih England itu telah memacu pasukannya memenangi kesemua 11 perlawanan Kejohanan Eropah termasuk kejayaannya memimpin Belanda, lima tahun lalu.
Mereka bakal berdepan ujian getir di Wembley awal pagi esok apabila England berdepan juara lapan kali itu.
Alexandra Popp sudah pasti akan mengetuai jentera serangan Jerman selepas meledak dua gol ke atas Perancis dalam pertembungan separuh akhir bagi menyamai jumlah enam gol yang dikumpul Beth Mead dalam perebutan Kasut Emas.
Kedua-dua gol Popp itu hadir menerusi sepakan lintang, lantas Wiegman tidak akan mengabaikan hakikat bahawa Jerman akan kerap mencari ruang di tengah-tengah pertahanan England, di mana Millie Bright dan Leah Williamson pasti menghadapi ujian paling sukar dalam kejohanan itu.
"Ia mungkin sedikit fizikal," katanya dalam sidang akhbar awal pagi tadi.
"Boleh jadi Jerman akan menggunakan hantaran jauh. Itulah yang kami jangkakan."
Tuan rumah itu telah menyajikan corak permainan menarik dalam laluan mereka ke final Eropah pertama sejak 2009 ketika ditundukkan 2-6 kepada seteru serupa di Helsinki.
Wiegman percaya pemainnya mampu menembusi pertahanan kental Jerman yang hanya bolos sekali setakat ini -- itu pun hasil gol sendiri ketika bertemu Perancis.
"Kami memang mengkaji beberapa perkara yang boleh dieksploitasikan," katanya lagi.
"Kita akan melihatnya esok. Kami sudah menjangkakannya memandangkan bakal berdepan sebuah pasukan yang menghasilkan permainan terbaik dan kami beruntung dapat berentap."
Ditanya adakah Jerman sebagai pasukan terkuat dalam kejohanan itu, Wiegman menambah: "Saya rasa kami juga mempunyai pasukan yang sangat bagus dan kami tidak gentar dengan sesiapa pun."
#Euro Wanita
;