SERIE A
FIGC nafi pertemuan rasmi dengan Ancelotti
Alessandro Costacurta mengesahkan bertemu Carlo Ancelotti, namun menegaskan mereka tidak membincangkan prospeknya sebagai jurulatih Itali.
Laporan awal hari ini mengaitkan Pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Roberto Fabbricini, bersama dengan Timbalan Pesuruhjaya FIGC, Costacurta, mengadakan pertemuan dengan Ancelotti di sebuah hotel di Rome.
Bekas pengurus Real Madrid dan Bayern Munich itu telah lama dikaitkan untuk mengambil alih pasukan kebangsaan yang kini dikendalikan jurulatih sementara, Luigi Di Biagio, sejak Februari lalu.
Costacurta menjelaskan mereka telah bertemu Ancelotti, begitupun mendakwa ia adalah kebetulan semata-mata memandangkan mereka menginap di hotel yang sama.
"Kami menghormati peraturan, kami bercakap tentang hal lain dengan Ancelotti," katanya kepada Sky Sport 24.
"Carlo berada di Rome atas sebab-sebab peribadi. Hotel yang dipilihnya adalah tempat yang saya selalu tinggal dan kami terserempak di sana. Kami tidak bercakap mengenai Azzurri, kami hanya berjenaka mengenai peluang itu selain hal kewangan.
"Oleh kerana kami patuh kepada peraturan, kami hanya bercakap mengenai sesuatu yang lain. Benar ada visi kerana kami melihat Carlo, sama seperti calon lain, di bangku simpanan pasukan kebangsaan, namun peraturannya penting dan kami harus mematuhinya.
"Kami memerlukan calon-calon lain untuk menawarkan diri. Kami tidak boleh mendekati jurulatih yang di bawah kontrak.
"Akan ada pertemuan, saya mengesahkan 20 Mei ini untuk melantik jurulatih pasukan kebangsaan," ujarnya.
Sebelum ini, Fabbricini menegaskan bahawa mesyuarat itu bukan perbincangan rasmi biarpun FIGC memang mempertimbangkan khidmat Ancelotti.
"Ancelotti mempunyai masalah keluarga yang agak serius, itulah sebabnya dia berada di Rome," katanya kepada Radio Crc. "Costacurta, yang akrab dengan Ancelotti, bertemu dengannya dan saya turut mengambil bahagian dalam pertemuan itu.
"Walaupun kami bercakap tentang senario masa depan tetapi kami masih mempunyai jurulatih yang di bawah kontrak.
"Saya tidak fikir seorang jurulatih boleh mengetepikan pekerjaan berprestij seperti membimbing Itali. Peranan bersama Azzurri sentiasa menjadi sasaran mana-mana jurulatih.
"Tetapi, tentu saja, terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi keputusan itu: keinginan untuk bekerja setiap hari, sebagai contoh."