FIFA perlu bayar pampasan kecederaan Ronald Araujo
Shaiful Shamsudin
September 26, 2022 11:09 MYT
September 26, 2022 11:09 MYT
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedia membayar pampasan kepada Barcelona berhubung kecederaan yang menimpa Ronald Araujo.
Menurut laporan Mundo Deportivo, pertahanan itu -- yang mengikuti tugasan antarabangsa bersama Uruguay -- hanya bertahan seminit di atas padang sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, Jumaat lalu.
Tetapi selepas pemeriksaan lanjut, Araujo memerlukan pembedahan yang mungkin menyisihkannya hingga tujuh minggu.
Situasi itu menjejaskan perancangan Barcelona untuk menempuhi jadual padat menjelang sepak mula Piala Dunia Qatar, November depan.
Berdasarkan peraturan FIFA, pampasan kecederaan boleh dituntut selepas 28 hari seseorang pemain berkenaan direhatkan akibat kecederaan dan sehubungan itu, skuad bimbingan Xavi Hernandez tersebut dijangka akan diberi bayaran pampasan mencecah €20,548 (RM91,233).