FIFA kongsi kisah penyerang Harimau Malaya, Sergio Aguero

Afiq Azfar
Julai 10, 2024 17:14 MYT
Penyerang sensasi Harimau Malaya, Sergio Aguero berkongsi kisah perjalanan bola sepak beliau yang dipaparkan melalui laman web Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Pemain yang bermain bersama kelab Sri Pahang itu menceritakan bagaimana beliau jatuh cinta dengan bola sepak, sumber inspirasi beliau sewaktu kecil, dan juga keputusan untuk mewakili pasukan bola sepak kebangsaan.

?️ "It's wonderful to represent the country I love. Every time I get a call-up, it is a dream come true." @FAM_Malaysia's Sergio Aguero's story is a special one. ✨

— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) July 10, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sergio Fabian Ezequiel Aguero, yang dilahirkan di La Rioja, Argentina secara sah mendapat kerakyatan Malaysia dan menjadi pemain naturalisasi untuk pasukan kebangsaan.
"Saya telah tinggal dan bermain di Malaysia hampir lapan tahun, saya dan isteri mempunyai dua orang anak yang dilahirkan di sini." kata beliau.

Semasa membesar di Argentina, Aguero mengenali kecintaannya terhadap bola sepak dengan mengagumi dan mendapat inspirasi daripada dua bintang bola sepak terbesar negara tersebut.

"Dua idola, yang menjadi tauladan dan sumber inspirasi terbesar saya adalah Juan Roman Riquelme dan Lionel Messi. Saya sentiasa mengkaji gaya permainan mereka dan cuba meniru semua pergerakan mereka. Tetapi ianya tidak mudah, kerana kita bercakap tentang dua raksasa," katanya dengan gelak ketawa.

Bercakap mengenai Malaysia, Sergio Aguero menegaskan beliau dan keluarga gembira berada di sini.
"Kami gembira di sini dan mencintai Malaysia dan rakyatnya. Jadi apabila peluang untuk menjadi warganegara Malaysia dan mewakili pasukan kebangsaan itu hadir, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan keputusan yang mudah untuk dibuat."

"Ianya amat indah untuk mewakili negara yang saya cintai. Setiap kali saya dipanggil, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan saya tidak dapat menggambarkan kebahagiaan yang dirasai. Saya akan sentiasa teruja untuk memakai jersi Malaysia dan akan memberikan segalanya untuk negara ini."
Kini pada usia 30 tahun, Aguero berharap bahawa semangat juang dan pengalamannya akan terus membantu pembangunan bola sepak di Malaysia.

Penyerang itu sentiasa mempunyai rancangan jangka panjang dan ingin merealisasikan impiannya untuk melihat Malaysia mencapai tahap tertinggi dan mencatat sejarah baharu.

"Matlamat jangka pendek saya adalah untuk membantu Sri Pahang bersaing dan memenangi beberapa trofi untuk kelab. Matlamat jangka panjang saya adalah untuk membantu bola sepak Malaysia meningkat dalam ranking FIFA, dan impian besar saya adalah sudah tentu untuk melihat Malaysia menjulang Piala Asia dan juga layak ke Piala Dunia," ujar beliau.

#FIFA #Harimau Malaya
;