Skip to main content

Bola Sepak

FIFA gantung seumur hidup bekas presiden CONMEBOL

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

figueredo.jpg
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung seumur hidup bekas presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Eugenio Figueredo, selepas didapati bersalah dalam tuduhan rasuah.

Bekas presiden berusia 87 tahun itu mengepalai Persatuan Bolasepak Uruguay selama sembilan tahun sejak 1997 selain menjadi naib presiden CONMEBOL selama dua dekad hingga 2013.

Selepas itu, dia menggantikan Nicolas Leoz untuk menerajui badan induk bola sepak Amerika Selatan itu, namun dipenjarakan dua tahun kemudian.

FIFA mendakwa Figueredo menerima suapan bernilai jutaan dolar dengan "memberikan kontrak kepada beberapa syarikat untuk memiliki hak media dan pemasaran bagi pertandingan di bawah kelolaan CONMEBOL" di antara 2004 dan 2015.

Amerika Syarikat (AS) dan Uruguay memohon ekstradisinya dari Switzerland pada 2015 dan negara kelahirannya itu memenangi hak untuk mendakwa Figueredo memandangkan pertuduhannya lebih banyak di negara berkenaan berbanding AS.

Dia dibebaskan pada penghujung 2017 selepas dipenjarakan selama dua setengah tahun, namun awal pagi tadi, FIFA mengumumkan bahawa Figueredo tidak boleh lagi terlibat dengan bola sepak.

"Dewan adjudikasi jawatankuasa etika bebas telah medapati Encik Eugenio Figueredo, bekas naib presiden dan presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan bekas anggota beberapa jawatankuasa FIFA, bersalah di atas tuduhan rasuah yang melanggar kod etika FIFA," kata satu kenyataan yang dikeluarkan FIFA.

"Dalam keputusannya, dewan adjudikasi mendapati Encik Figueredo telah melanggari artikel 27 (rasuah) kod etika FIFA edisi 2018 dan sebagai akibatnya, dia digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak (pentadbiran, sukan atau lain-lain) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Di samping itu, denda berjumlah CHF1 juta (RM4.2 juta) turut dikenakan ke atas Encik Figueredo."

Advertisement

Must Watch Video