Skip to main content

Bola Sepak

FIFA arah Afrika Selatan, Senegal beraksi semula

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lamptey.jpg
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di antara Afrika Selatan dan Senegal dimainkan semula selepas pengadil yang mengadili perlawanan sebelum ini dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup.

Skuad Bafana Bafana menang 2-1 dalam aksi sebelum ini selepas pengadil, Joseph Lamptey, menghadiahkan sepakan penalti kepada Afrika Selatan kerana mendakwa bola terkena tangan pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly, ketika permainan masih kekal 0-0.

Bagaimanapun, isu itu menjadi kontroversi selepas ulang tayang video menyaksikan bola jelas berada di bahagian kaki Koulibaly, sekaligus menyebabkan Lamptey digantung seumur hidup atas kesalahan "mengatur perlawanan".

Keputusan perlawanan pada November 2016 itu menyaksikan Afrika Selatan berada di tangga terbawah dengan satu kemenangan manakala Senegal di tangga ketiga, satu mata di belakang pendahulu Kumpulan D yang berkongsi mata, Burkina Faso dan Cape Verde.

"Perlawanan itu akan diadakan semula pada November 2017, tarikh sebenar akan diumumkan kemudian," kata satu kenyataan daripada FIFA.

"Seperti yang dinyatakan dalam undang-undang FIFA, keputusan ini akan dijalankan serta-merta, namun sebarang tindakan susulan akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penganjur dalam mesyuarat seterusnya yang dijadualkan pada 14 September ini."

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA), menafikan sebarang kesalahan yang dilakukan tetapi menunggu laporan FIFA sebelum mengemukakan sebarang rayuan.

"SAFA sedang meneliti kandungan laporan dan akan mengeluarkan kenyataan sebagai usaha susulan daripada keputusan yang dilakukan FIFA," ujar seorang wakil SAFA.
 

Advertisement

Must Watch Video