Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Fernandes tuntut kematangan Manchester United

fernandes.jpg
REAL SOCIEDAD 0 MANCHESTER UNITED 4 

Bruno Fernandes menggesa Manchester United agar terus mempamerkan kematangan bagi meningkatkan peluang mereka untuk memenangi trofi selepas menjadi inspirasi kemenangan Liga Europa ke atas Real Sociedad.


Bintang Portugal itu menjaringkan dua gol sebelum Marcus Rashford dan Daniel James turut menemui sentuhan penyudah dalam kemenangan 4-0 di Stadium Allianz, Turin, awal pagi tadi. 

Fernandes kini terlibat dalam 52 gol secara langsung sejak penampilan sulungnya bersama United pada Februari tahun lalu -- 10 gol lebih banyak berbanding pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain. 

Persembahan terakhirnya menjadi titik tolak bagi memastikan The Red Devils mengakhiri kemarau kemenangan dalam sembilan perlawanan ke atas kelab Sepanyol untuk meletakkan mereka sebelah kaki ke pusingan 16.

Kemajuan dalam seberapa banyak kejohanan amat penting buat Fernandes tatkala dia berusaha memenangi gelaran pertamanya sejak meninggalkan Sporting CP selain menempa tiga kekalahan dalam separuh akhir pada 2019-20.

"Ia mengenai kemenangan. Kami mahu memenangi permainan dan hari ini saya fikir kami melakukan segalanya dengan baik," katanya kepada BT Sport.

 

"Keputusan kali ini berpihak kepada kami tetapi kami masih ada pertemuan kedua. Kami akan menempuhi perlawanan yang sukar di tempat sendiri. Kami tahu keputusan 4-0 adalah keputusan yang baik tetapi kami juga perlu sedar mengenai kemampuan Real Sociedad.

"Saya rasa kami tidak perlu melihat hasilnya, sebaliknya perlu melihat kepada permainan sendiri. Kami tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam beberapa perlawanan lalu malah kami juga gagal menjelmakan keputusan yang dihajati biarpun menunjukkan prestasi yang baik.

"Kami perlu sedar bahawa kami harus menjadi matang, kami semakin baik dan meningkat, tentu saja aspek terpenting adalah mengenai hasilnya bagi menyuntik kepercayaan kepada diri sendiri. 

"Hasrat saya adalah menjaringkan gol sebanyak yang mungkin dan berusaha membantu rakan sepasukan. Saya fikir itulah peranan saya di posisi ini -- untuk membantu dan menjaringkan gol.

"Paling penting bagi saya, sasaran saya adalah piala. Menjulang kejuaraan lebih penting daripada menjaringkan gol."

Juara 20 EPL itu akan menjadi tuan rumah kepada Sociedad di Old Trafford pada minggu depan selepas kunjungan Newcastle United untuk aksi liga, awal pagi Ahad ini.

Advertisement

Must Watch Video