Duo dinamik baru Terengganu, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, mahu menjadikan fenomena Pawi-Mat Yat yang dicetuskan penyokong skuad Peteh itu sebagai pembakar semangat dalam menjulang kelab Pantai Timur berkenaan.

Ia demi mendapatkan pencapaian lebih manis dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25 setelah penghijrahan kedua-dua pemain itu secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) ibarat bulan jatuh ke riba buat ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

Safawi berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Selepas tujuh tahun saya berkelana di Harimau Selatan, ini kali pertama saya berkhidmat untuk pasukan Terengganu, jadi saya tidak sabar untuk memulakan kempen Liga Malaysia dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan Terengganu," katanya.

Mengulas mengenai sambutan di Terengganu, Akhyar berkata: "Saya amat terharu, terlalu ramai yang datang berjumpa sehingga saya tidak sempat untuk ke bilik persalinan dan terpaksa memasang pengawal peribadi."

"Saya rasa teruja kerana bukan senang untuk ada penyokong yang ramai dalam sesi latihan pertama.

"Saya tidak menjangkakannya, jadi saya rasa tahun ini Insya-Allah stadium akan penuh dalam setiap perlawanan," tambah Pawi pula.