Felda United memilih sikap merendah diri untuk berdepan PKNS dalam pertembungan yang dilihat hala tuju buat kedua-dua pasukan bagi memburu tiket suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Aksi PKNS dan Felda cukup menarik untuk disaksikan ekoran kedua-dua pasukan belum tewas dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia.
Menurut jurulatih Felda, B. Sathianathan, beliau menghormati kekuatan lawan yang diterajui Datuk K. Rajagobal yang mempamer prestasi cemerlang, musim ini.
Baginya, Felda pasti menempuh laluan sukar jika berhajat mencipta kemenangan ke atas PKNS yang begitu ampuh dalam aspek teknikal.
"Mereka mempunyai pemain-pemain yang boleh dikatakan terbaik dalam pasukan PKNS setakat yang saya lihat daripada beberapa tahun-tahun yang sudah.
"Kami akan menentang satu pasukan dan jurulatih yang berpengalaman. Saya harap pemain-pemain saya memberikan yang terbaik kerana Liga Perdana berbeza dengan Liga Super," katanya..
Sathianathan juga tidak dapat menyembunyikan keresahan ekoran pasukannya bergelut soal kecederaan ramai pemain.
Empat tonggak utama, Thiago Aquino, Wan Zack Haikal Wan Noor, Khairul Azrin Khazali dan Hadin Azman tidak dapat diturunkan berdepan PKNS.
"Aquino tidak dapat diturunkan kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan. Hadin pula baru mula berlatih semalam.
"Kami banyak kecederaan, tertutama bermain di laman sendiri, padang tiruan. Apabila bermain di padang tiruan, kecederaan sukar untuk dielakkan," katanya lagi.
Penulis Jemputan
Sun Aug 19 2018