Felcra FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana selepas menewaskan MISC-MIFA 2-1 di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik dalam usaha meraih keputusan positif, dengan pemenangnya berpeluang mengkuhkan kedudukan di tangga kedua serta mencerahkan laluan ke Liga Super musim depan.

MISC-MIFA memulakan babak pertama dengan agresif dalam usaha meraih jaringan awal.

Gandingan serangan yang diterajui Kpah Sherman dan Limam Seydi kerap menguji benteng Felcra yang dikemudi kapten, Shahrom Kalam.

Gol yang dicari-cari MISC-MIFA akhirnya tiba pada minit ke-34 apabila Zamri Ramli mudah menyempurnakan umpanan Sherman.

Sherman kemudian mengasari penjaga gol Felcra, Fadzley Rahim, pada minit ke-42 yang menyaksikan pengadil, Tuan Mohd Yasin Tuan Mohd Hanaffiah, melayangkan kad merah kepada penyerang import dari Liberia itu.

Sherman kemudian seakan-akan sukar menerima keputusan itu, namun rakan sepasukan dan pegawai pasukan MISC-MIFA sempat menariknya untuk meninggalkan padang.

Memasuki babak kedua, Felcra mula menjelmakan aksi lebih pantas dan turut melakukan beberapa pertukaran taktikal.

Hasilnya, gol penyamaan diraih menerusi pemain tengah, Alif Samsuddin, sebaik permainan melewati sejam.

Felcra kemudian mendahului apabila pemain gantian, Abdul Azim Rahim, menyudahkan umpanan Anselmo da Silva pada minit ke-74.

"Ini satu perlawanan yang menarik. Kami sedar MISC-MIFA sebuah pasukan yang mantap, sentiasa mempamerkan semangat serta segar.

"Mereka cekap dalam serangan balas selain bertahan dengan baik.

"Kami tidak bermain dengan baik dalam babak kedua, mujur kami bangkit dalam separuh masa kedua dan menang," kata jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese.

"Saya tidak menyalahkan pasukan apabila kami terpaksa mengharungi permainan dengan 10 orang, ini kerana apa sahaja boleh berlaku dalam situasi ini," ujar ketua jurulatih ujar ketua jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, pula.

"Saya berpendapat, kami harus mendahului semasa bermain dengan 11 pemain.

"Kad merah merupakan titik tolak dalam perlawanan ini," tambahnya.