UCL
Favre puji 'ancaman' Achraf
SLAVIA PRAGUE 0 BORUSSIA DORTMUND 2
Lucien Favre memuji Achraf Hakimi selepas pemain muda itu menjaringkan dua gol ketika Borussia Dortmund menewaskan Slavia Prague 2-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Sinobo awal pagi tadi.
Pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa perlawanan Kumpulan F itu untuk menjadi pemain termuda Dortmund menjaringkan dua atau lebih gol dalam satu perlawanan kejohanan berkenaan.
Pertahanan kiri yang dipinjam daripada Real Madrid itu diletakkan sebagai pemain tengah menyerang ketika menentang Slavia dan hampir menjaringkan hatrik jika percubaannya tidak diselamatkan penjaga gol lawan, Ondrej Kolar.
"Dia mengagumkan saya," kata Favre dalam sidang media selepas perlawanan.
"Dia menjaringkan dua gol walaupun tidak 100 peratus selesa beraksi di posisi itu.
"Dan dia masih terlalu berbahaya ketika menyerang.
"Kami amat berpuas hati dengan prestasinya," katanya.
Jurulatih Slavia, Jindrich Trpisovsky, turut menghamburkan pujian sama, namun berasakan Achraf mempunyai keupayaan untuk menjadi pemain terbaik di posisi pertahanan.
"Saya menyedari kualiti yang dimiliki Hakimi sebelum ini.
"Saya fikir, dalam beberapa tahun lagi, dia akan menjadi salah seorang daripada tiga atau empat pertahanan sayap terbaik dunia.
"Potensinya amat besar," katanya.