BOLA SEPAK
Farhod jadi sandaran T-Team robek kubu Sarawak
Ketajaman penyudah penyerang import, Farhod Tadjiyev, menjadi sandaran pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, untuk mengutip tiga mata pertama Liga Super bertemu Sarawak di Kuala Terengganu, malam esok.
“Sebagai bekas penyerang berpengalaman yang beraksi bersama pasukan ini, Farhod ternyata tidak memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan kami.
“Dia (Farhod) menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang perlawanan pra-musim, malah menampilkan keserasian bersama pemain-pemain lain dalam masa yang singkat.
“Persiapan yang rapi pada awal musim juga menampakkan rentak persembahan yang positif sebagai satu pasukan selepas kehilangan lima pemain utama yang berhijrah.
“Sarawak pasti sudah bersedia dan perlawanan pertama sememangnya bukan mudah. Namun, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan dan kami mahu menghadiahkan tiga mata kepada penyokong T-Team,” katanya.
Selepas mengharungi musim yang dianggap cemerlang pada 2016, ketua jurulatih berasal dari Indonesia itu jelas bersemangat mahu mencapai keputusan lebih baik dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.
“Sebagai ketua jurulatih, tekanan itu perlu ada agar saya tahu sasaran setiap musim, terutama dalam Liga Super yang menyaksikan banyak pasukan melakukan persediaan rapi.
“Meskipun kami dibarisi majoriti pemain muda, mereka menunjukkan semangat kekeluargaan yang jitu dan itu adalah kekuatan kami.
“Sasaran utama pada 2017 adalah untuk mencapai keputusan yang lebih baik daripada musim lalu. Sama ada kami mampu mengulanginya atau tidak, itu adalah tanggungjawab saya,” ujar Rahmad.
The Titans mempertaruhkan dua awang import baharu musim ini, iaitu Farhod dan Mamadou Samassa, selain mengekalkan pertahanan dari Mali, Abdoulaye Maiga, serta pemain tengah dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov.