Mutakhir ini isu mutu pengadilan menjadi bahan bualan peminat Liga Malaysia (Liga-M) dan yang terbaru mengenai penggantungan serta-merta pengadil perlawanan membabitkan Sabah FC menentang Penang FC, kelmarin, Zulkarnain Zakaria.

Dalam satu kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikeluarkan petang tadi menyebut: "Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria, telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9."

Dalam perlawanan di Stadium Likas itu menyaksikan Sang Badak menang 5-2 di mana beberapa siri sepakan penalti telah diberikan termasuk 12 minit masa kecederaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, menegaskan badan induk itu tidak sesekali akan berkompromi berkenaan isu kualiti pengadilan Liga-M.

FAM sentiasa memantau prestasi pengadil yang bertugas dan akan mengadakan penilaian dari masa ke semasa.



"Pengadil, Zulkarnain Zakaria, digantung daripada mengadili sebarang pertandingan sehingga diberitahu kelak.

"Kami tidak berkrompomi kepada pengadil yang melakukan kesilapan malah kami mengambil tindakan keras.

"Kami telah menilai sejak 4-5 sejak berlangsungnya Liga Super, kami memberi amaran keras agar menunjukkan sikap profesional pada masa akan datang," katanya dihubungi Astro Arena hari ini.