FAM: Jangan usik Kim Pan-gon


Februari 13, 2024 17:40 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan melepaskan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, walaupun ada tawaran yang dikemukakan oleh mana-mana pihak untuk mendapatkan khidmat jurulatih tersebut.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata badan induk itu mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan langkah yang telah diatur untuk skuad Harimau Malaya dapat diteruskan oleh Pan-gon.
"Macam yang ada didengari sekarang, ini semua permintaan orang luar. Permintaan sebelum ini pun ada juga yang mahu dia dikeluarkan.
"FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan apa yang dilakukan berterusan dan kita nampak peningkatan di bawah Pan-gon ini agak baik. Tentu sekali apa yang telah cuba dilakukan ini perlu diteruskan," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ke-10 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Sebelum ini, saham Pan-gon naik selepas 'air tangannya' berjaya mencipta sensasi untuk mengikat pasukan di ranking ke-23 dunia, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E pada Piala Asia Qatar baru-baru ini.
Peminat Korea Selatan yang berang kerana Malaysia yang berada di ranking ke-130 dunia mengikat Taegeuk Warriors mahu Pan-gon -- yang juga bekas Pengarah Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) -- kembali mengemudi pasukan itu.
Menurut Mohd Yusoff, KFA juga tidak mengemukakan sebarang hasrat untuk mendapatkan kembali Pan-gon selain FAM juga telah menyambung kontrak pengendali berusia 54 tahun itu sehingga tahun depan.
"Memang KFA sebelum ini bagi Pan-gon untuk meningkatkan pasukan kebangsaan kita. Itu semangat KFA ketika itu yang mencalonkan Pan-gon untuk bersama pasukan Malaysia.
"Jadi, saya fikir tak mungkin Korea Selatan nak panggil dia balik dalam keadaan kita memerlukan dan usaha dilakukan Pan-gon ini telah menampakkan perubahan ketara.
"Kita juga telah sambung kontrak Pan-gon, saya tak fikir lah KFA akan ambil. Perancangan FAM dengan dia juga panjang," katanya.
-- Sinar Harian
#FAM #Harimau Malaya #Piala Asia
;