LIGA SUPER MSIA
FAM hormati teguran TMJ
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati teguran Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta menghargai segala sumbangan yang telah baginda berikan dalam memajukan bola sepak di Malaysia.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, berkata kenyataan Tunku Ismail bahawa badan pengadil mestilah bebas dan bukannya di bawah FAM akan diperhalusi oleh badan induk bola sepak negara itu.
"FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Ismail. FAM akan memperhalusi idea baginda berhubung dengan penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil-pengadil Liga Malaysia.
"FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka," kata Sivasundaram mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Ismail menerusi aplikasi X (Twitter) pada Khamis lalu.
Sivasundaram turut mengulas cadangan Tunku Ismail supaya pasukan atau kelab yang tidak berpuas dengan keputusan pengadil untuk melantik atau membayar pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan mereka.
"Sekiranya ada pasukan yang tidak puas hati dengan prestasi pengadil tempatan, pasukan tersebut boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.
"Namun, bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri. FAM atau MFL tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara.
"Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang Dolar Amerika Syarikat (ASD)," tambahnya.
-- Sinar Harian