Pemain tengah berdarah campuran Amerika Syarikat-Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, dijangka akan menyertai kem latihan kebangsaan dalam panggilan seterusnya.

Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan masa untuk pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang sedang dialaminya.

Selain itu, bek kanan berdarah Belanda-Malaysia, Mats Deijl, juga disahkan akan menyertai skuad kebangsaan.

"Sepatutnya Wan Kuzain sudah menyertai kita kali ini," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam sidang media di ibu negara hari ini.

"Dia telah menghubungi saya beberapa bulan lalu tetapi nasib tidak baik, dia sedang mengalami kecederaan.

"Insya-Allah, apabila dia pulih, dia akan datang dan dia akan dapat pasport untuk bermain bersama Malaysia.

"Bahkan semalam, dia menghubungi saya dan berjanji apabila kecederaannya pulih, dia akan datang ke sini dan bermain untuk Malaysia," katanya.