BOLA SEPAK

Fakhrul Azim tidak sangka rangkul kejuaraan bersama PDRM

Ammar Hakim 05/12/2023 | 09:33 MYT
Pemain tengah PDRM, Muhammad Fakhrul Azim Zulphatah, mengakui tidak pernah mengimpikan julang piala sulung dalam karier profesional bersama The Cops sebagai seorang anggota.
Fakhrul yang merupakan anggota berpangkat konstabel itu mengakui keharmonian serta hubungan kekeluargaan dalam pasukan sebagai kunci utama skuad kendalian Datuk Yunus Alif itu berjaya meraih kejuaraan MFL Challenge Cup 2023.
Pemain kelahiran Gong Badak, Terengganu itu turut memasang impian membantu PDRM menamatkan saingan Liga Ssuper musim ini di kelompok lima pasukan terbaik tatkala berbaki dua perlawanan.
Untuk rekod, Fakhrul muncul antara tunjang utama Sang Saka Biru apabila telah tampil dalam 20 perlawanan di pentas Liga Super 2023.
"Piala Cabaran ini merupakan kejuaraan pertama sebagai pemain profesional. Saya sangat bersyukur berjaya memenangi gelaran bersama PDRM," katanya menerusi Nadi Arena.
"Kami akan terus menampilkan permainan terbaik dalam aksi terakhir dan meraih tiga mata sekaligus memperbaiki kedudukan liga."
;