Faisal raksasa di sebalik tubuh kecil

Asmawi Bakiri
Disember 26, 2023 14:53 MYT
“Apa yang kita capai musim ini adalah hasil titik peluh, air mata perjuangan, azam, cita-cita dan ikatan tidak dapat dipecahkan yang telah kita jalin bersama,” begitulah kata-kata pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, dalam temu bual dengan sebuah portal berita minggu ini.
Dengan sebanyak 12 gol dijaringkan bersama The Red Giants musim ini serta lapan bantuan jaringan, tidak lupa juga sumbangan gol detik-detik akhir sewaktu aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan bersama pasukan kebangsaan, nama pemain yang diberikan gelaran ‘Mickey’ ini kian harum sehingga diletakkan seangkatan dengan Arif Aiman selaku calon pemain paling bernilai.
Kudrat Faisal sepanjang musim ini membolehkan Selangor meraih tempat kedua dalam Liga Super, sekali gus layak secara merit ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi musim 2024/25.
Nilai pasarannya sebagai pemain kini turut melonjak kepada €400,000 (RM2 juta), menurut laman sesawang Transfermarkt.
Bakat Faisal pada mulanya dicungkil menerusi program realiti Mencari Ramli sebelum menyarung jersi sebagai pemain Penang U-19 bermula pada tahun 2012 dan meraih aksi sulungnya sebagai pemain profesional pada tahun 2015.
Biarpun bertubuh kecil dengan ketinggian sekadar 158 sentimeter, Faisal tidak sesekali pernah berasa kerdil dengan pihak lawan dari negara mana sekalipun yang dihadapi.
Tanya sahajalah kepada pemain-pemain pertahanan China seperti Zhang Linpeng dan Tyias Browning yang memiliki ketinggian melebihi 185 sentimeter tetapi masih menghadapi kesukaran untuk mengekang Faisal.
Di sebalik pencapaian memberangsangkan musim ini, nama Faisal terpalit dengan kontroversi apabila digantung selama empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara komennya yang dianggap celupar ketika Selangor tewas 1-2 di tangan Sabah FC dalam liga.
Selangor kemudian bertungkus-lumus melakukan rayuan agar hukuman tersebut diringankan, sehingga akhirnya FAM memutuskan untuk membenarkan penggantungan tersebut kekal selama sebulan sahaja.
Bukan sekadar kelabnya, malah pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon, turut sama kekal  menyenaraikan Faisal dalam senarai pemain dan percaya penggantungan tidak akan menjejaskan prestasinya.
Menyebut tentang Pan-Gon, Faisal pernah berkongsi mengenai kegarangan pengendali dari Korea Selatan itu yang diibaratkannya sebagai harimau sewaktu pasukan kebangsaan ketinggalan selepas separuh masa pertama ketika menentang Kyrgyzstan.
“Pan-Gon marah kepada kami semua, tetapi itu sememangnya karakter dia yang menekankan agar pemain tidak lalai di atas padang,” ujar Faisal.
Keajaiban yang dihadirkan di atas padang berserta dengan sikap yang disenangi semua membuatkan Faisal dikaitkan dengan ura-ura perpindahan ke pelbagai kelab pada musim baru nanti.
Malah, ada antaranya dikatakan dari pasukan luar negara seperti Suwon Samsung Bluewings dan Incheon United, tetapi kemungkinan besar Faisal akan kekal bersama Selangor FC.
Ini bagi membalas jasa Selangor FC dan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, yang mempertahankan dirinya ketika detik-detik sukar, serta untuk memimpin mereka mengharungi cabaran baru pada musim depan, termasuk di peringkat Asia
Faisal turut sedar bahawa tempatnya dalam kesebelasan utama Harimau Malaya tidak akan selamanya terjamin, apatah lagi dengan kehadiran pemain baru seperti Romel Morales yang turut mampu beraksi bahagian sayap kiri sepertinya.
Tetapi mengenali karakter dan semangat juangnya, sesiapa saja boleh meyakini yang dia akan tetap kekal bersedia memberikan segala yang terbaik demi kejayaan kelab serta negara.
#Harimau Malaysia #Piala Asia #Faisal Halim #Selangor FC
;