Faisal Halim sangkal gaji RM80,000
Sinar Harian
April 17, 2023 18:44 MYT
April 17, 2023 18:44 MYT
Pemain Selangor FC, Faisal Halim, menafikan dakwaan sebuah laman Facebook, Harimau Selatan X, yang mendakwa dia menerima gaji RM80,000 sebulan.
"Pandai-pandai je hahahahahah 80k saya dah pakai kereta 500k 600k dah," kata Faisal di ruangan komen Harimau Selatan X.
Facebook Harimau Selatan X itu memuat naik gambar yang menunjukkan perbezaan gaji diterima pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan Faisal.
Hantaran tersebut mendakwa Faisal menikmati gaji RM80,000 sebulan jauh -- lebih tinggi berbanding Arif Aiman yang memperoleh RM25,000 sebulan.
Isu mengenai gaji tersebut mula hangat dibincangkan netizen selepas pendedahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengenai gaji diterima oleh Arif Aiman.
Tunku Ismail juga menjelaskan kejayaan Harimau Selatan pada ketika ini bukan disebabkan oleh kuasa wang atau gaji lumayan pemain.
Menurutnya, gaji pemain JDT boleh dikategorikan pada tahap kompetitif dengan ada pasukan Liga-M yang berbelanja lebih tinggi untuk seorang pemain import.
Kredit: Sinar Harian