Faisal Halim mohon doa rakyat Malaysia
Mei 7, 2024 20:22 MYT
Penyerang Selangor, Faisal Halim, meminta rakyat Malaysia dapat mendoakan dirinya cepat sembuh selepas mengalami kecederaan teruk akibat disimbah asid pada Ahad lalu.
Perkara itu dikongsikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, ketika melawat Faisal di sebuah hospital swasta di Shah Alam hari ini.
Menurut Shahril, dia sempat berjumpa dengan Faisal sebelum dia menjalani pembedahan kedua pada jam 5.30 petang tadi.
"Saya sempat berjumpa dengannya. Dia (Faisal) minta doa supaya cepat sembuh dan kirim salam kepada kawan-kawan.
"Jadi, kita doakan kesembuhannya dan doakan agar pembedahan kedua petang ini berjalan lancar," katanya.
Faisal kini sedang mendapatkan rawatan rapi dan doktor juga mengesahkan dia mengalami kelecuran tahap empat susulan simbahan asid sulfurik pekat oleh individu tidak dikenali.
--Sinar Harian