Skip to main content

Bola Sepak

Fagner bakal tampung kecederaan Danilo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fagner.jpg
Brazil mengesahkan Fagner akan menggantikan tempat Danilo di dalam kesebelasan utama akibat kecederaan menjelang pertemuan Piala Dunia 2018 dengan Costa Rica, malam ini. 

Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) berkata dalam satu kenyataan ringkas, pertahanan Manchester City itu mengadu kesakitan di pinggulnya ketika sesi latihan semalam. 

Danilo telah didiagnosis oleh doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar, yang mendedahkan bahawa pemain itu mengalami "kecederaan otot pinggul kanan" dan dia akan direhatkan dalam aksi Kumpulan E itu. 

Brazil sudah pun kehilangan bek kanan Paris Saint-Germain (PSG), Dani Alves, akibat kecederaan lutut.

CBF mengesahkan Tite akan menamakan Fagner dalam skuad utama untuk menghadapi Costa Rica selepas skuad Samba itu membuka kempen temasya Russia 2018 dengan seri 1-1 ketika menentang Switzerland.

"Danilo akan memulakan rawatan dengan ahli fisioterapi dan akan terus diletakkan di bawah pemerhatian jabatan perubatan," kata CBF.

Ia akan menjadi satu-satunya rombakan skuad Brazil selepas Neymar dibenarkan beraksi meskipun dibelenggu masalah pergelangan kaki sepanjang minggu ini.

Pertahanan Corinthian, Fagner, akan tampil buat kali kelima selepas membuat kemunculan pertama di pentas antarabangsa pada 2017.
 

Advertisement

Must Watch Video