LIGA PERDANA MSIA
Fabio puas hati Kuala Lumpur dapat beraksi dalam Piala Malaysia
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, menarik nafas lega apabila pasukannya mengesahkan slot untuk beraksi dalam Piala Malaysia selepas menundukkan MISC-MIFA 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Selayang, malam tadi.
Lima pasukan yang berada dalam kedudukan teratas selepas tamat pusingan pertama Liga Perdana layak untuk beraksi ke saingan piala berprestij itu.
"Sasaran utama kami adalah meletakkan pasukan dalam saingan Piala Malaysia. Seperti yang saya kata, perlawanan hari ini (malam tadi) adalah sukar.
Iklan
"Ia kerana saya tahu mereka (MISC-MIFA) juga mempunyai masalah sebelum ini dan mereka bermain untuk mencari kebanggaan," katanya.
Pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila penyerang importnya, Bodric Dimitri, melambungkan bola untuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Ahmad Solehin Mamat, pada minit ke-12.
Kuala Lumpur, bagaimanapun, bangkit selepas rehat menerusi Modibo Konte sebelum Guilherme de Paula memastikan kemenangan pada penghujung perlawanan hasil tandukan selepas menyambut hantaran Muhammad Hafiz Johar.
Kemenangan itu meletakkan skuad warga kota di tangga keempat liga dengan mengutip 20 mata manakala MISC-MIFA terus terperosok di tangga ke-11 dengan hanya mengutip enam mata.
Sementara itu, penyerang MISC-MIFA, Dimitri, berkata: "Kami datang ke sini dengan harapan kami dapat mencapai sesuatu kerana ini adalah perlawanan terakhir pusingan pertama.
"Kami cuba yang terbaik, malangnya kami gagal tukarkannya kepada kemenangan."
Must-Watch Video