LIGA INGGERIS
Fabinho hairan Fred jadi subjek kemarahan penyokong Manchester United
Pemain tengah Liverpool, Fabinho, percaya rakan sepasukannya dalam kem Brazil, Fred, telah menerima kritikan keras yang tidak adil di sebalik pergelutan Manchester United kebelakangan ini.
The Red Devils berada di tangga kedua tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas dua perlawanan pembukaan.
Selpeas tunduk 1-2 di tempat sendiri kepada Brighton & Hove Albion, United mengalami mimpi ngeri 0-4 di Brentford pada hari yang mencabar buat pengurus baru, Erik ten Hag.
Fred sering menerima kritikan penyokong United sendiri dan permulaan suram kelab itu hanya meningkatkan lagi tohmahan terhadapnya musim ini.
Dia dan Fabinho berpeluang saling menguji kemampuan masing-masing dalam kunjungan Liverpool ke Old Trafford awal pagi esok, dan Fabinho berpendapat rakan senegaranya itu wajar lebih dihormati oleh penyokong United.
“Kadang-kadang saya tidak begitu memahami kritikan terhadap Fred memandangkan dia adalah pemain utama, dia sentiasa mempamerkan permainan bola sepak yang bagus,” katanya dalam Telegraph.
“Secara umumnya Manchester United tidak berjaya pada musim-musim lalu jadi anda cuba mencari penyelesaiannya atau anda cuba meletakkan kesalahan itu ke atas beberapa pemain, jadi kadang-kadang saya fikir Fred dalam golongan sedemikian.
"Tetapi dia seorang pemain yang bagus.
"Dalam pasukan kebangsaan, dia sentiasa menjadi pilihan utama. Dia sentiasa bermain dengan baik dan ya, kadangkala pemain memerlukan sedikit keyakinan untuk beraksi dengan baik.
"Musim lalu dia menonjolkan aksi bola sepak yang sangat bagus, mungkin dia antara pemain terbaik United.
"Musim ini United tidak bermula dengan baik tetapi saya harap Fred dapat beraksi dengan baik dan United akan kekal memperagakan corak sebegitu."
![](https://d3lbfr570u7hdr.cloudfront.net/stadiumastro/media/sa-images/2022/08-august/22/fred.png)