LIGA INGGERIS

Evra umum persaraan

Penulis Jemputan 29/07/2019 | 23:52 MYT
Bekas pertahanan Manchester United dan Juventus, Patrice Evra, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak.
Pertahanan berusia 38 tahun itu -- yang membuat 81 penampilan bersama Perancis -- turut bermain untuk Monaco, Nice dan Marseille sebelum berakhir bersama West Ham tahun lalu.
Evra mendedahkan dia telah memulakan persiapan untuk menjadi jurulatih dan mendapat sokongan penuh daripada bekas pengendali United, Alex Ferguson.
"Karier sebagai pemain bola sepak saya secara rasmi telah berakhir," kata Evra kepada Gazzetta dello Sport. "Saya telah memulakan latihan untuk mendapatkan Lesen Kejurulatihan B UEFA sejak 2013, kini saya mahu menghabiskannya, kemudian beralih ke Lesen A UEFA.
"Jika segalanya berjalan lancar dalam tempoh satu setengah tahun, saya akan bersedia untuk memimpin pasukan," ujarnya.
Evra memulakan karier bersama kelab Itali, Marsala dan Monza, sebelum beraksi enam musim di Perancis bersama Nice dan Monaco. Persembahannya bersama Monaco menarik perhatian Ferguson yang membawanya ke Old Trafford pada 2006.
Dia kemudian dibentuk menjadi salah seorang pertahanan kiri terbaik Eropah dan menikmati tujuh setengah tahun yang cemerlang bersama kelab, memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara pada musim 2007-08.
Evra kemudian meninggalkan The Red Devils untuk menyertai Juventus pada 2014 dan memenangi dua gelaran Serie A sebelum kembali ke Perancis bersama Marseille.
Tetapi tempoh Evra bersama kelab itu berakhir dengan kontroversi selepas menendang salah seorang penyokong kelab itu ketika sesi memanas badan sebelum berdepan Vitoria de Guimaraes dalam saingan Liga Europa.
Dia digantung UEFA selama tujuh bulan sebelum kembali ke England dan membuat lima penampilan bersama West Ham bagi musim 2017-18.
;