Skip to main content

Bola Sepak

Everton kempunan sentuhan James Rodriguez

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

james-rodriguez1.jpg
Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, semalam mengesahkan bahawa pemain tengah, James Rodriguez, bakal tercicir dalam dua perlawanan akan datang.

Rodriguez sudah pasti akan direhatkan dalam perjalanan ke Sheffield United dan Manchester City berikutan masalah betis yang menyebabkannya tersisih empat perlawanan terakhir The Toffees.

Situasi Richarlison pula sedang dinilai selepas terhantuk dalam Piala Liga Inggeris (EFL) dengan Manchester United, Rabu lalu. 

Pemain Brazil itu terpaksa dikeluarkan selepas 56 minit permainan akibat berlaga dengan Eric Bailly dan peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL) melarang seseorang pemain itu daripada beraksi selama enam hari sekiranya mereka didapati mengalami gegaran otak.

Menjelang jadual padat Everton 'Boxing Day' -- menghadapi pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu adalah perlawanan keempat mereka dalam masa 12 hari -- Ancelotti mengakui akan ada peluang untuk pemain lain menyinar.

Awal musim ini, Everton tewas tiga perlawanan berturut-turut ketika Richarlison digantung.

"Sekiranya dia mengalami gegar otak, dia harus diketepikan. Kami harus mematuhi protokol dan kami perlu mencari pengganti yang lebih baik daripadanya. Untuk dua perlawanan berikutnya, James juga belum sedia diturunkan," katanya di laman sesawang kelab.

"Sekiranya tiada kelibat Richarlison, ia akan menjadi peluang yang baik buat pemain yang jarang diturunkan. Mereka boleh menunjukkan kualiti mereka dalam detik penting. 

 

"Saya fikir sebelum ke Sheffield United, kami masih berpeluang menjalani pemulihan tetapi sebaik habis perlawanan, kami perlu fokus kepada satu lagi perlawanan pada dua hari kemudian. Jadi mana mungkin barisan sama akan dipertaruhkan. Saya rasa kami akan mula menggilirkan pemain dalam perlawanan kedua Boxing Day."

Advertisement

Must Watch Video